Selain kebaikan kepada bayi, ibu yang menyusui bayi mereka turut mendapat manfaatnya. Antara kebaikan penyusuan ibu kepada ibu itu sendiri adalah seperti yang berikut.
- Penyusuan susu ibu membantu meningkatkan ikatan antara ibu dengan bayi. Sentuhan antara ibu dengan bayi, berada rapat semasa penyusuan dan masa yang dihabiskan bersama-sama semasa menyusu merupakan saat indah bagi setiap ibu. Sebenarnya terdapat hormon yang dikeluarkan semasa penyusuan yang membantu meningkatkan ikatan dan perasaan keibuan ini.
- Semasa menyusui bayi, hormon prolaktin dan oksitosin akan dirembeskan dalam tubuh ibu. Fungsi utama hormon ini adalah untuk memastikan penghasilan dan pengeluaran susu. Dalam masa yang sama, hormon ini mampu menyebabkan ibu berasa tenang. Kesannya, ibu yang lebih tenang akan lebih bersedia untuk menyusui dan menjaga bayi mereka.
- Hormon oksitosin juga akan bertindak ke atas rahim ibu dan mempercepatkan pengecutan rahim. Keadaan ini akan mengurangkan risiko pendarahan yang banyak selepas bersalin. Dengan itu, risiko bagi ibu untuk mengalami anemia atau kekurangan sel darah merah akan berkurangan.
- Ibu memerlukan tenaga yang banyak bagi menghasilkan susu untuk menyusui bayi mereka. Lemak yang banyak terkumpul dalam tubuh ibu semasa hamil akan dibakar untuk menghasilkan tenaga untuk digunakan dalam penghasilan susu. Oleh itu, ibu yang menyusui bayi mereka terutamanya secara eksklusif selama 6 bulan pertama berjaya mengurangkan berat tubuh dengan lebih cepat berbanding ibu yang tidak menyusui bayi mereka. Keadaan ini penting kerana ia dapat mengurangkan risiko untuk ibu mengalami masalah obesiti selepas bersalin.
- Hormon yang dirembeskan semasa menyusui bayi juga dapat mengelakkan ibu daripada menjadi subur. Malahan ramai ibu yang tidak didatangi haid semasa mereka menyusui bayi. Walaubagaimanapun tempoh ketidaksuburan ini berbeza bagi setiap ibu. Hanya ibu yang menyusui bayi mereka secara eksklusif, bayi berusia 6 bulan ke bawah dan ibu masih belum didatangi haid selepas bersalin yang boleh menggunakan kaedah penyusuan ini sebagai satu kaedah untuk merancang keluarga. Kaedah ini mempunyai kadar kejayaan yang tinggi iaitu lebih kurang 98 peratus sekiranya semua kriteria tersebut dipenuhi.
- Selain kesan yang dapat dilihat segera seperti yang telah dibincangkan, penyusuan susu ibu juga mempunyai kesan jangka panjang ke atas ibu. Ibu yang menyusui bayi mereka sehingga sekurang-kurang dua tahun pula akan mempunyai risiko penyakit jantung yang lebih rendah. Ibu yang menghidap diabetes dan menyusui bayi didapati memerlukan dos insulin yang lebih rendah untuk merawat penyakit mereka. Selain itu, risiko osteoporosis juga akan lebih rendah dalam kalangan ibu yang menyusui bayi mereka.
Sumber : 100 Persoalan Mengenai Penyusuan Susu Ibu
0 comments:
Post a Comment